Di zaman Islam dahulu Fatwa

Mufti Turki (1697)

Pengeluaran fatwa

Kajian fatwa dirumuskan dalam teks-teks usul al-fikah (pengasasan perundangan Islam), manakala garis panduan praktik untuk mufti ada dalam buku pedoman yang dipanggil Adab Al-Mufti atau Adab Al-Fatwa (budi bahasa mufti/fatwa).[8]

Fatwa dikeluarkan untuk menjawab soalan. Panjang jawapan tersebut boleh sependek mengatakan "ya" atau "tidak" mahupun sepanjang senaskhah buku.[4][5] Fatwa yang pendek biasanya untuk menyelesaikan perkara yang biasa dan umum, manakala fatwa yang panjang diberikan untuk menyelesaikan perkara yang luar biasa, serta alasan untuk fatwa yang diberikan. Soalan yang diajukan kepada mufti haruslah masalah yang sebenar dan bukan soalan bersahaja atau sekadar ingin tahu dan jawapan dihasilkan secara am, dengan menyisihkan nama tempat dan orang. Seorang mufti biasanya tidak patut bertanya tentang perkara lain selain daripada maklumat yang telah diberikan, dan soalan yang berkenaan perbalahan akan dibuat dengan berhati-hati untuk mendapat perasaan balas yang diingini.[9] Dan fahaman mufti pada sesuatu soalan akan bergantung terhadap kebiasaan dan adat resam sesuatu kaum. Mengikut amalah fikah, jika persoalan tersebut tidak cukup jelas atau tidak cukup maklumat untuk keluarkan fatwa, mufti tersebut sepatutnya nyatakan masalah itu dalam jawapan balas mereka.[9]

Fatwa dapat diminta oleh kaum lelaki dan perempuan daripada kaya dan yang papa. Mufti mereka boleh jadi seseorang yang tidak begitu dikenali, seperti seorang mufti kecil yang menjawab soalan di kawasan kampung terpencil, ataupun dikenali ramai seperti seorang mufti yang dilantik oleh negeri. Berapa terperinci sesuatu fatwa, seperti penuh dengan sumber rujukan dan kaedah ijtihad, bergantung kepada pengemuka soalan.[9] Sepatutnya, pengaju harus pastikan sama ada mufti mereka bertauliah atau tidak, tetapi Adab Al-Mufti arif bahawa perkara itu amat sukar untuk orang biasa dan menasihatkan pengaju untuk percayakan mufti yang bertakwa dan soleh.[9] Biasanya mufti dalam suatu tempat dikenali amat. Kadangkala, pengaju dapat kemukakan soalan mereka kepada beberapa orang mufti tempatan, sementara sesetengah pengaju harus menjelajah ke tempat lain untuk dapatkan fatwa.[9] Kadi negeri biasa utuskan surat untuk bertanya fatwa pada mufti terkenal di bandar atau negeri lain.[10] Fikah Islam Sunnah Waljamaah umumnya membenarkan pengaju untuk dapatkan jawapan daripada beberapa orang mufti bagi soalan sama, asalkan ia kes sebenar dan bukan bersahaja.[4] Pengaju lakukan ini biasanya kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang diberikan oleh mufti pertama, dan kedua-dua pihak akan cuba untuk dapatkan fatwa yang menyebelahi pihak mereka.[9] Para mufti adakalanya berbincang dengan mufti lain dalam kes yang rumit, tetapi hal ini tidak diperlihatkan dalam fikah yang menakrifkan futya sebagai urusan antara seorang mufti bertauliah dan seorang pengaju yang tidak bertauliah.[11]

Dalam amalah fikah, seorang mufti mengeluarkan fatwa secara percuma. Dalam amalan biasa, mereka biasanya menerima duit sara daripada perbendaharaan dan pembiayaan negeri serta dermaan awam. Menerima sogokan adalah dilarang.[6][9] Ahli mufti, sehinggalah abad ke-11 dan 12, biasanya menyara kehidupan mereka dengan kerja-kerja lain. Pekerjaan ini termasuklah pekerjaan biasa seperti menyamak kulit, menyalin kitab ataupun berdagang.[12]

Fatwa boleh disampaikan secara lisan mahupun bertulis, namun keumuman fatwa lisan tidak diketahui, selain daripada jabatan kerajaan Uthmaniyah yang diasaskan khas untuk tujuan itu. Fatwa bertulis biasanya diutuskan terus kepada pengaju soalan dan tidak meninggalkan sebarang pendokumenan. Meskipun begitu, ada berjumlah besar himpunan fatwa umum di arkib-arkib kerajaan Uthmaniyah dan India.[9] Buku pedoman mufti mengandungi berbagai peraturan tentang format piawai untuk fatwa, seperti elak meninggalkan ruang kosong yang sesiapa boleh mencemarkan keabsahan fatwa dengan meletakkan wallahualam (Allah yang lebih mengetahui). Apa pun, fatwa berbeza dari segi bentuk dan rupa mengikut budaya perundangan setempat.

Peranan fatwa

Fatwa memainkan tiga peranan penting dalam sistem perundangan Islam klasik:

  • menguruskan maklumat tentang Islam dengan membekalkan nasihat keundangan kepada warga Muslim, serta memberi kaunseling dalam perkara ibadat dan tatasusila;[7][9]
  • menasihatkan mahkamah dalam perkara-perkara berkenaan syariah dengan memberi jawapan balas kepada kadi atau hakim;[7][5]
  • memberi keterangan lanjut dalam hukum syariah, lebih-lebih lagi menggunakan karya perundangan yang pernah dikeluarkan oleh pengarang undang-undang yang menghimpunkan fatwa daripada ahli mufti ternama dan susunkan dalam sebuah pustaka.[7][9]

Sebelum kewujudan sistem pengajian moden, pengajian undang-undang merupakan bidang pengajian yang terhebat di dunia Islam. Sejumlah kecil sarjana syariah mengawal selia tafsiran syariah dalam pelbagai soalan penting, daripada persoalan ibadat hingga perihal kewangan. Mufti yang bertauliah mesti sampaikan ilmu pengetahuan mereka dengan mengajar atau mengeluarkan fatwa, dan yang paling ideal ialah mufti yang cemerlang dalam bidang ilmiah dan nilai murni, dan mereka biasanya dihadap dengan rasa hormat kerananya.[9]

Muka surat dalam himpunan fatwa dari zaman Parsi Safawiyah, lewat kurun ke-17

Kadi biasanya minta pendapat seorang mufti yang lebih berpengetahuan apabila sesuatu kes mahkamah amat rumit untuk membuat keputusan.[4][13] Keputusan fatwa selalunya ditegakkan dalam mahkamah, dan fatwa tersebut diabaikan hanya jika ada fatwa yang lebih kukuh untuk membela pihak lawan. Jika satu pihak dengan pertikaian tidak dapat peroleh fatwa untuk menyokong pihak mereka, mereka biasanya tidak akan bawa ia ke mahkamah, dan akan selesaikannya dengan satu sama lain ataupun tinggalkan dakwaan mereka.[14] Kadangkala para mufti boleh diminta untuk berikan fatwa bagi keputusan mahkamah yang sudah lepas, sebagai proses rayuan tidak rasmi tetapi keleluasaan dan caranya berbeza dari zaman ke zaman.[15] Proses penasihatan mufti dahulu adalah perkara yang boleh dilakukan di bumi Islam, tetapi di Al-Andalus perkara ini adalah wajib dan sebarang keputusan mahkamah tanpa seorang pakar undang-undang adalah tidak sah.[16]

Pengarang undang-undang kumpulkan fatwa daripada mufti bertauliah tinggi dan meringkaskannya kepada norma undang-undang yang lebih padat untuk digunakan oleh kadi-kadi, dan memberi rumusan perundangan syariah untuk setiap mazhab.[7][14] Pengarang undang-undang cari fatwa yang mencerminkan situasi masyarakat mereka dalam segi masa dan tempat, dan sering pendapat yang lebih baharu yang berkait dengan fahaman mufti dan ulama lama.[14] Menurut kajian oleh Wael Hallaq dan Baber Johansen, himpunan fatwa dapat dan pernah memberi kesan dalam perkembangan syariah.[17]

Di awal zaman Islam, peranan mufti, pengarang undang dan kadi tidak menyisihkan satu sama lain. Yakni seorang pengarang perundangan boleh mengajar undang-undang, adakan sesi fatwa dan menghakimi kes mahkamah sekali gus dalam satu hari, manakala waktu malam beliau dapat usahakan karya perundangannya. Individu yang dapat uruskan keempat-empat perkara ini dianggap pakar perundangan yang paling hebat.[12]

Dari sudut kewajipan ibadat dan tatasusila, fatwa diiringkan dengan takwa (takut dan sedar bahawa Allah sentiasa memandang kita), lebih-lebih lagi dalam karya susastera kesufian. Fatwa boleh benarkan pilihan antara tafsiran syariah yang lembut atau tegas dalam sesuatu perkara, ataupun boleh menggunakan muslihat keundangan (حيل hiyal, حيلة atau helat) untuk membendung tafsiran yang lebih tegas, tetapi ia tidak diterima dari sudut pandangan takwa.[7]

Kelayakan untuk menjadi mufti

Syarat asas untuk mengeluarkan fatwa menurut fikah klasik ialah berpengetahuan dalam agama dan soleh. Menurut Adab Al-Mufti, seorang mufti mestilah baligh, Islam, dipercayai, boleh diharap, murni, berakal, peka, pintar, terlatih dan bukan seorang fasik.[6] Biasanya, kaliber seorang mufti dilihat berdasarkan kepakaran ilmiah dan perwatakan mulia mereka.[4]

Dalam amalah fikah, setiap mufti akan tentukan bila beliau akan mula amalkan ilmunya. Manakala kebiasaannya, seseorang yang ingin menjadi seorang mufti harus belajar selama beberapa tahun dengan satu atau beberapa orang mufti sebenar, dan akan pelajari kurikulum yang merangkumi nahu Arab, hadis, undang-undang dan ilmu-ilmu agama lain. Gurunya akan tentukan sama ada anak muridnya sedia untuk keluarkan fatwa dengan memberinya ijazah.[15]

Semasa Islam masih lagi baharu, mufti dianggap sebagai seseorang yang mujtahid, iaitu orang yang berusaha untuk dapat­kan sesuatu kesimpulan baru melalui kajian atau penyelidikan berdasarkan sumber dan kaedah yang sah (ijtihad), serta menilaikan kesahihan hadis dan menggunakan atau mengembangkan kaedah tersebut. Dari abad ke-13, pengaji fikahpe mula berasa yang mufti-mufti mereka tidak mempunyai ilmu dan kemahiran yang cukup untuk keluarkan fatwa. Tambahan pula, soalan-soalan penting yang diajukan pernah diselesaikan oleh mufti-mufti lama dahulu, jadi mufti yang lebih kini hanya perlu gunakan fatwa yang telah digunakan dalam ajaran mereka (taklid). Maka pada zaman ini, gelaran mufti dan mujtahid dibezakan, dan taraf seseorang pakar fikah diasingkan kepada tiga taraf kecekapan.[18]

Walaupun jawatan kadi dikhaskan untuk lelaki dalam sistem syariah klasik, fatwa masih boleh dikeluarkan oleh lelaki dan juga wanita.[19] Umumnya, kebanyakan mufti yang tamat kurikulum pendidikan dalam bidang bahasa, ilmu agama serta menerima ijazah untuk keluarkan fatwa adalah lelaki.[4] Hamba, orang buta dan orang bisu juga tidak boleh menjadi seorang kadi atau hakim, namun tidak jika ingin menjadi seorang mufti.[6]

Beza antara fatwa dan keputusan mahkamah

Mufti dan seorang kadi atau hakim memainkan peranan yang berbeza dalam sistem syariah klasik, dan beza antara fatwa dan keputusan mahkamah adalah seperti berikut:

  • Sebuah fatwa adalah tidak terikat, manakala keputusan mahkamah adalah terikat dan boleh dikuatkuasakan.[4][7]
  • Fatwa menguruskan perkara-perkara berkenaan ibadat, agama, tatasusila dan falsafah, sedangkan mahkamah menguruskan perkara-perkara berkenaan perundangan.[4][7]
  • Keputusan mahkamah hanya digunakan dalam satu kes sahaja, manakala fatwa digunakan untuk semua perkara yang mirip soalannya.[9]
  • Fatwa dikeluarkan mengikut maklumat yang telah diberikan untuk kes berkenaan, manakala seorang hakim akan telitikan segala perkara yang berkenaan dengan kes yang dibicarakan.[4][9]
  • Seorang hakim akan pertimbangkan hujah antara dua pihak dalam satu kes untuk dapatkan keputusan, sedangkan fatwa dikeluarkan dengan maklumaat yang dikemukakan oleh seorang pengaju soalan sahaja.[4][9]
  • Fatwa yang dikeluarkan mufti utama dikumpul dalam kitab untuk menjadi sumber rujukan kes-kes yang lampau, manakala keputusan mahkamah walaupun dicatat dalam daftar mahkamah ia tidak disebarkan atau diwara-warakan.[4][9]
  • Mufti dan kadi kedua-duanya bertafsirkan syariah, tafsiran keundangan menggunakannya dalam penilaian bahan bukti seperti sumpah dan keterangan tertuduh, manakala seorang mufti menyemak sumber-sumber daripada Al-Quran, sunah, kitab-kitab agama dan catatan berkenaan dengan syariah.[9]
  • Dalam sistem keundangan klasik, kadi merupakan kakitangan awam yang dilantik oleh pemerintah, sementara mufti pula merupakan sarjana swasta dan tidak dilantik oleh pegawai kerajaan.[20]

Pengasasan

Sebelum abad ke-11, sesiapapun yang ada keiktirafan sebagai seorang pakar syariah boleh mengeluarkan fatwa. Akan tetapi, sejak itu jawatan mufti awam mula diasaskan bersama-sama mufti swasta. Di Khurasan, pemerintah melantik seorang syeikh al-Islam, yang menjadi ketua para mufti. Kesultanan Mamluk melantik empat orang mufti, setiap satu bagi setiap mazhab dalam Sunah Waljamaah, kepada mahkamah-mahkamah rayuan di ibu kota setiap wilayah. Kerajaan Uthmaniyah menyusun mufti-mufti menjadi sebuah hierarki dengan ketua mufti di atas yang juga digelar syeikh al-Islam. Syeikh al-Islam (Turki: şeyhülislam) Uthmaniyah ialah pegawai kerajaan yang paling berkuasa.[9] Soalan-soalan yang diajukan kepada para mufti Uthmaniyah akan disemak dan ditulis oleh sekumpulan jurutulis untuk memudahkan kaedah pengeluaran fatwa.[9][5] Di Kerajaan Mughal dan Kerajaan Safawiyah pula, ketua mufti digelar sebagai sadr.[5]

Madrasah Ulugh Beg, Samarkand (sejak 1422)

Dari abad ke-6 sehingga ke-10, mufti-mufti diajar dalam kumpulan pengajian kecil sahaja, tetapi menjelang abad ke-11 dan 12, pemerintah-pemerintah mula menubuhkan yayasan agama pengajian tinggi yang dikenali sebagai madrasah untuk menyokong dan bekerjasama dengan para ulama atau sarjana Islam. Pada awalnya, ia digunakan untuk belajar undang-undang tetapi ia mula merebak ke seluruh dunia Islam, menyebarkan pembelajaran Islam di luar kota dan menyatupadukan umat Islam dengan projek kebudayaan ini.[21]

Di beberapa negeri Islam lama, seperti Al-Andalus, mufti diuntukkan dalam mahkamah sebagai penasihat. Para mufti juga mengadakan proses syura (mesyuarat) untuk menasihatkan pemerintah. Kadangkala mufti diutuskan untuk hal ehwal lain, seperti menjadi muhtasib atau pemeriksa pasar.[7]

Fatwa awam dan politik

Walaupun fatwa biasanya dikeluarkan kepada seorang individu atau seorang kadi, sesetengah fatwa yang bersifat awam atau politik adalah penting dalam pengabsahan agama, pertikaian kepercayaan, pengkritikan politik atau pengerahan politik. Menurut sejarah dunia Islam, semakin pihak mufti bergabung dengan birokrasi kerajaan, semakin kuatlah tekanan ke atas pihak mufti untuk menyokong dasar kerajaan. Sultan-sultan kerajaan Uthmaniyah dahulu sering memohon fatwa daripada ketua mufti dalam prakarsa pentadbiran dan ketenteraan, seperti meluluskan jihad menentang Mamluk Kaherah dan Parsi Safawiyah.[4] Fatwa berkenaan amalan-amalan sosial dan ekonomi baharu juga kadangkala dimohon kepada ketua mufti kerajaan Uthmaniyah, seperti undang-undang kewangan dan jenayah yang digubal di luar syariah, pencetakan buku-buku bukan agama (1727) dan pemvaksinan (1845).[5]

Adakalanya, mufti memegang kuasa yang bebas daripada pengaruh pemerintah, dan beberapa orang sultan di Maghribi dan Kerajaan Uthmaniyah pernah dimakzulkan akibat fatwa yang dikeluarkan oleh mufti-mufti yang berpengaruh.[4] Contohnya, Sultan Murad V yang dimakzulkan kerana tidak waras.[5] Fatwa awam juga pernah digunakan untuk mempertikaikan masalah berkenaan kepercayaan, dan kadangkala ia digunakan untuk mengisytiharkan sesetengah kumpulan atau individu yang memanggil diri mereka sebagai Muslim dikucilkan daripada umat Islam dan kafir (takfir).[4] Dalam dunia politik dan sarjanawi, tengkarah kepercayaan antara negeri, mazhab atau tempat pengajian sering diiringi fatwa yang bertembung.[9] Para mufti juga dapat bertindak untuk melawan pengaruh hakim-hakim dan pegawai sekular. Dengan menyatakan kilanan dan hak-hak masyarakat, fatwa awam sering mendorong sistem mahkamah yang biasanya enggan mendengar untuk pertimbangkan suara rakyat.[5]